Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah | ketengah[at]ketengah.gov.my | Tel : (09) 823 1000 Faks : (09) 8223 105

Semangat 1Malaysia.

Program Jalinan Kasih dan Jom Bantu Rakyat merupakan satu program turun padang mendekati masyarakat dan menyelami hati budi mereka selaras dengan Moto KETENGAH “Bersama Membangun”. Keunikan edisi kali ini ialah penggabungan peserta yang terdiri daripada kaum Melayu, India, Cina dan masyarakat Orang Asli. Keterbatasan kaum dan etnik bukan penghalang untuk saling hormat menghormati, bersikap menerima dan terbuka di antara satu sama lain malah semangat 1Malaysia telah dipupuk erat melalui program ini. Sebanyak empat J3K terlibat iaitu Kampung Perasing Jaya, Jabor Estate, Cina Jabor dan Sungai Pergam. Program ini telah diadakan bertempat di padang bola kawasan perumahan kilang sawit SIME DARBY, Jabor Kemaman pada 18 November 2017 (Sabtu).

Pelbagai acara menarik telah disusun dimulai dengan program senamrobik dan diikuti oleh sukan rakyat. Disamping itu program gotong royong, pameran dari Agensi Kerajaan, jualan dari usahawan KETENGAH dan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik turut diadakan. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Wan Abdul Hakim bin Tan Sri Wan Mokhtar, ADUN Air Putih. Beliau berkata “Semangat persaudaraan dan 1Malaysia inilah yang kita mahu dan saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini”. Hadir sama pada majlis tersebut YBhg. Tengku Ahmad Nazdri bin Tengku Musa, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, mewakili Pengurus Besar, Wakil dari JAKOA, KEMAS, Pegawai kanan KETENGAH dan pemimpin setempat. Pemenang bagi rumah sukan terbaik iaitu tempat pertama telah dimenangi oleh J3K Jabor Estate, tempat kedua J3K Kampung Perasing Jaya dan hadiah saguhati J3K Cina Jabor dan Sungai Pergam.

 

 

Kongsi artikel ini