Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah | ketengah[at]ketengah.gov.my | Tel : (09) 823 1000 Faks : (09) 8223 105

Bukit Besi

Bukit Besi yang terletak di daerah Dungun, Terengganu sudah tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia. Tempat yang sarat dengan sejarah ini merupakan sebuah bandar perlombongan satu ketika dahulu. Kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kaji bumi dari Jepun,  Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916. Beliau mendapati terdapat banyak bijih besi di kawasan tersebut. Bijih besi ini diangkut menggunakan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kampung Dendang. Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927.

 

Syarikat ini kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC). 'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13 Januari 1929.

Pada tahun 1935, jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja). Pendapatan penduduk Bukit Besi pada masa itu sangat mewah. Perkhidmatan awam seperti bekalan air, elektrik, kereta api juga disediakan secara percuma.

Pengeluaran bijih besi oleh NMC mencapai kemuncaknya antara 1936 - 1940. Selepas itu ia mula menurun dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. Tiada aktiviti perlombongan dijalankan sekitar 1946 - 1949 kerana keadaan darurat dan tiada permintaan.  

Kerajaan British telah menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO).

 

EMMCO telah memulakan kegiatan melombong secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun.

Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960-1964 di mana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun. Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi.Penutupan lombong bijih besi ini telah memberikan impak yang besar dari segi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan daerah Dungun.

Penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah memberikan sinar baru kepada penduduk pedalaman Negeri Terengganu. Bandar Bukit Besi yang berada di kawasan operasi KETENGAH telah dibangunkan secara terperinci dan terancang. Pelbagai kemudahan awam, kemudahan sosial dan premis-premis perniagaan, telah diwujudkan selari dengan pembangunan Negara.

Kini, peninggalan sejarah perlombongan di Bandar Bukit Besi masih terpelihara. Beberapa artifak sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan seperti chimney, stock pile, washing plant / tin plant, crushing plant, tempat menyimpan bahan letupan dan sebahagian daripada kuarters masih tersergam hingga ke hari ini.

Tasik Puteri yang wujud hasil daripada perlombongan bijih besi dimajukan oleh KETENGAH sebagai kawasan rekreasi yang menarik.Sebuah Galeri sejarah juga diwujudkan bagi tatapan generasi akan datang.