Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah | ketengah[at]ketengah.gov.my | Tel : (09) 823 1000 Faks : (09) 8223 105

Cengal Gergasi

Cengal Gergasi

Cengal atau nama saintifiknya “Neobalanocarpus heimii” merupakan salah satu jenis kayu terkeras di dunia yang dihasilkan dari Pokok Cengal. Pokok ini dikategorikan sebagai kayu balak, keras , padat, tahan lama dan berkualiti paling tinggi. Kayu Cengal biasanya tumbuh di dalam hutan hujan tropika dan hutan hujan khatulistiwa.

Pokok Cengal terbesar dan tertua di Malaysia dijumpai di Kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada tahun 1999 oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar bin Mohamad. Pokok Cengal tersebut setinggi 65 meter dengan ukur lilitnya 16.75 meter, atau kira-kira 13 orang dewasa memeluknya, serta bergaris pusat 5.32 meter. Jika ditebang, sebayak 27 buah lori diperlukan bagi mengangkut kayunya. Isipadu pokok cengal ini dianggarkan 220m3 dengan keberatan 120 tan metrik.

Usia pokok tertua ini dianggarkan 1,300 tahun iatu berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4sm setahun.

Pokok yang terletak lebih kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara dan 390 meter dari paras laut di kawasan Kompartmen 5 hutan ini, telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia dan didokumenkan dalam keluaran edisi ketiga pada tahun 2001.

Kepada sesiapa yang berminat dan penggemar aktiviti lasak, anda boleh melalui jalan Kuala Jengai – Sungai Loh. Pengunjung boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda ataupun berjalan kaki untuk sampai ke tapak perkhemahan. Tempoh masa bagi menaiki pacuan empat roda mengambil masa selama 2 jam. Manakala jika berjalan kaki akan mengambil masa selama 4 jam hingga 6 jam bergantung kepada keupayaan anda.

Tapak perkhemahan ini berdekatan sungai Loh atau dikenali Lubuk Poh. Airnya yang jernih dengan pelbagai spesis ikan air tawar seperti kelah, tengas dan lampan menggamit pengunjung ke sana. Dari tapak perkhemahan anda akan meneruskan perjalanan ke Pokok Cengal Gergasi dengan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan merasai keindahan alam semulajadi yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Khazanah alam semulajadi yang terpelihara sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu ini pastinya memukau sesiapa sahaja yang bertandang.

 

Sesungguhnya kawasan Hulu Dungun ini masih terpelihara dan dipulihara khazanah alam semulajadi dari ancaman untuk tatapan generasi akan datang.