Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah | ketengah[at]ketengah.gov.my | Tel : (09) 823 1000 Faks : (09) 8223 105

Tasik Kenyir

Tasik Kenyir adalah merupakan sebuah tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar. Terletak di daerah Hulu Terengganu bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah barat dan Negeri Pahang di sebelah selatan, Tasik Kenyir adalah sebahagian daripada Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah.

Tasik Kenyir yang terbentang melukiskan keindahan alam semulajadi memiliki seribu rahsia. Dalam alunan riak dan gelombangnya yang bening, berenang kawanan ikan-ikan kecil dan besar yang riang dan bebas menikmati kedamaian alam menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan yang sangat menarik dan mempesonakan.

Keistimewaan Tasik Kenyir bukan semata-mata kerana kejernihan air di dadanya, kehijauan alam yang melambai dan bukit bukau yang memukau, tetapi kerana ia juga menjadi pintu masuk ke taman Negara yang terkenal di serata dunia. Pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah sendiri telah membawa seribu kemudahan kepada pengunjung. Tempat-tempat penginapan, infrastruktur, tempat rekreasi dan riadah serta pelbagai acara berprestij turut menghidupkan lagi suasana di Tasik Kenyir.

Petang Island Resort

Pembinaan Empangan Jenagor yang siap pada tahun 1986 menyebabkan wujudnya Tasik Kenyir yang menenggelami beberapa batang sungai yang sedia ada, bukit-bukit serta tanah tinggi juga turut tenggelam, namun puncak-puncak yang melebihi 138 meter tingginya telah muncul sebagai pulau-pulau yang menghiasi perairan Tasik Kenyir. Kesannya lahir lah 340 buah pulau kecil dan besar.

Hutan Hujan Tropika

Tasik Kenyir tersohor dengan kehijauan dan ketenangan hutan hujan tropika tertua dunia semenjak 130 juta tahun lampau yang tutut menjadi habitat kepada ribuan spesis hidupan dan haiwan.  Ia dipagari oleh Hutan Simpan Kekal Tembat di sebelah utaranya manakala di sebelah selatannya pula terletak Hutan Simpan Kekal Hulu Terengganu yang menuju ke Taman Negara. Dengan iklimnya yang panas dan lembab sepanjang tahun, hutan hujan tropikanya amat subur lebih-lebih lagi dengan sumber air melalui sungai-sungai yang mengalir ke tasik.

Perubahan alam semulajadi tidak boleh dinafikan kerana evolusi cuaca, iklim dan lain-lain yang mempengaruhinya. Demikian juga gua-gua di Tasik Kenyir yang sangat indah.Bagi pencinta alam, gua-gua di Tasik Kenyir ialah kewujudan lukisan alam yang penuh dengan keunikan dan misteri. Gua Bewah dan Gua Taat merupakan dua buah gua yang terletak pada bukit batu kapur. Kewujudannya hingga kini masih meninggalkan misteri yang belum dapat dibongkar. Ahli-ahli arkeologi dan sejarawan masih berusaha merungkai rahsia yang tersembunyi di gua-gua ini. Di sini telah ditemui artifak seperti perkakas dapur, kapak batu dan alat-alat pertukangan yang berasal dari zaman Neolitik yang dianggarkan kira-kira tahun 3000 SM. Selain peninggalan barang purba, di celah celah pancaran cahaya matahari, pelancong, pencinta alam dan sesiapa sahaja boleh menjejaki Gua Taat dan Gua Bewah bagi menghayati sendiri keindahannya. Untuk kemudahan pengunjung, Gua Bewah telah dilengkapi dengan tangga yang sempurna serta sistem solar untuk menerangi bahagian dalamnya. Pengunjung yang berminat juga boleh bermalam di tapak perkhemahan yang disediakan bersebelahan dengan Gua Bewah.

Kemuncak tertinggi di sekitar Tasik Kenyir ialah Gunung Gagau yang tingginya pada kedudukan 1,376 meter. Kedudukannya juga istimewa kerana ia bersempadankan 3 buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Masyarakat Orang Asli

Tasik Kenyir turut mempunyai sebuah perkampungan orang asli kaum Senoi dari rumpun bangsa Semoq Beri yang terdiri daripada 20 keluarga, terletak di Sungai Berua iaitu kira-kira 32 km daripada Pengkalan Gawi dan 9 km dari Sungai Como.

Air Terjun

Air Terjun Lasir merupakan sebutan ramai dek kehebatan airnya yang terjun dari kira-kira 500 kaki dan membentuk kolam di setiap tingkatnya. Di samping itu, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Leban Terengganu dan Air Terjun Petuang adalah beberapa nama yang cukup sinonim dengan kedamaian di Tasik Kenyir.